Sabily?

    Sabily adalah sistem operasi yang diolah dari Ubuntu dengan memuatkan tema dan perisian-perisian Islam kedalamnya. Nama "Sabily" adalah satu perkataan daripada Surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud "jalanku". Pembangunan sistem operasi Sabily diharapkan dapat membantu umat Islam diseluruh dunia agar tidak terleka semasa menggunakan komputer melalui perisian-perisian Islam seperti waktu sembahyang yang akan muncul diskrin komputer apabila masuk waktu, kalendar Hijrah, doa-doa, zikir, bacaan Al-Quran dan lain-lain lagi. Disamping itu Sabily juga mengadungi perisian yang boleh mengawal penggunaan komputer oleh anak-anak tanpa perlu dipantau oleh ibubapa. Semoga usaha yang murni dari pemprogram-pemprogram Islam dari seluruh dunia itu diberkati Allah dan mendapat sokongan dari pengguna-penguna komputer yang beragama Islam. Perlu diingat bahawa segala perisian itu adalah percuma dan bebas untuk diolah semula.
    Sabily diasaskan oleh Saudara Mehdi Megnon yang berasal dari Perancis bersama-sama dengan pemprogram Saudara Abdelmonam Kouka yang berasal dari Tunisia. Disamping itu juga terdapat beberapa pemprogram yang aktif menjayakan Sabily iaitu Saudara Saber Omri, Ahmad El Mahmoudy, Muslih Al Akkad dan lai-lain lagi dari seluruh dunia seperti Tunisia, Indonesia, Arab Saudi, Pakistan, India, Malaysia dan lain-lain lagi. Mereka bekerja bersungguh-sungguh dalam menjayakan Sabily tanpa bayaran dengan harapan mereka dapat membantu umat Islam diseluruh dunia dalam pembangunan sistem komputer dan teknologi informasi.
    Sehingga kini Sabily telah memasuki versi 10.10 dengan kod nama Al-Quds seiring dengan versi Ubuntu 10.10 Maverick Meerkat. Kelahiran Sabily yang pertama adalah melalui keluaran Ubuntu versi 7.04 dengan menggunakan nama Ubuntu Muslim Edition. Nama Ubuntu Muslim Edition telah dipertikaikan oleh pihak yang tertentu lalu nama Sabily telah diwujudkan dan digunakan pada versi 8.04. Keluaran versi baru adalah sama dengan Ubuntu iaitu dua kali setahun pada bulan April dan Oktober. Siri versi adalah mengikut tahun dan bulan keluaran. Sebagai contoh, versi 8.04 adalah keluaran tahun 2008 bulan April. 
    Berikut adalah versi-versi Sabily,
        UbuntuME 7.04            dilancarkan 12/10/2007
        UbuntuME 7.10            dilancarkan 02/12/2007
        UbuntuME 8.04            dilancarkan 17/05/2008
        UbuntuME 8.04.1          dilancarkan 22/07/2008
        UbuntuME 8.10            dilancarkan 19/11/2008
        Sabily 9.04 Taibah        dilancarkan 12/05/2009
        Sabily 9.10 Gaza         dilancarkan 27/12/2009
        Sabily 10.04 Manarat    dilancarkan 28/06/2010
        sabily 10.10 Al-Quds    akan dilancarkan tidak lama lagi
    Diharap dengan kehadiran Sabily dapat menyatukan umat Islam didunia ini dengan menggunakan sistem operasi Islam yang sama bersama-sama dalam satu  komuniti iaitu Sabily.

Share